Adakah Betul atau ..?

Apr 28, 09 Adakah Betul atau ..?

bannerpts

Terbaca daripada blog Pn Ainon (PTS) kiriman beliau bertajuk “Perpustakaan Awam dan Sastera Kanak-kanak dan Remaja PTS

Seorang pembaca blog ini, Puan Mazlina Ali, menulis:

Di Perpustakaan Negara, anak saya pernah terjumpa beberapa buku PTS disorok di bawah rak buku.  Dia jumpa apabila salah satu buku itu terjulur keluar.  Hendak ambil kena seluk tangan ke bawah rak.  Ini tentu kerja kanak-kanak yang tidak mahu buku PTS jatuh ke tangan orang lain. Maklumlah, sekali pinjam cuma dapat 3 buku sahaja.

Semua buku yang disorok itu adalah buku PTS!

Yang menjadi tanda tanya orang ramai adalah:

(i) Jika buku-buku PTS begitu digemari oleh kanak-kanak dan remaja, sampaikan mereka menyorok-nyorokkan buku-buku PTS, mengapakah sangat sedikit judul buku PTS yang terdapat di perpustakaan awam, terutama di perpustakaan desa, sedangkan PTS menerbitkan beratus-ratus judul setiap tahun.

(ii) Bagi judul-judul PTS yang dibeli oleh perpustakaan, mengapakah jumlah naskhahnya sangat kecil bagi setiap judul, sedangkan penggemarnya begitu banyak.

Saya pernah bertanya persoalan ini kepada beberapa kontraktor buku yang mempunyai banyak maklumat dan pengalaman berkenaan hal-ehwal bagaimana perpustakaan awam menilai dan memilih judul.

Kontraktor-kontraktor buku itu memberitahu saya maklumat berikut:

(i) Pertama-tama, tidak ada sesiapa yang tahu apa ciri-ciri yang dijadikan kriteria pemilihan judul oleh perpustakaan awam. Apabila pegawai perpustakaan ditanya, mereka pun tidak tahu dengan tepat, oleh sebab tidak ada panduan bertulis mengenai kriteria memilih judul.

(ii) Kedua, tidak ada pegawai perpustakaan awam yang tidak yakin bahawa buku-buku sastera kanak-kanak dan remaja terbitan PTS sangat tinggi mutunya dan digemari ramai. Menurut kata kontraktor itu, mereka belum pernah terjumpa pegawai perpustakaan yang mengatakan sastera remaja terbitan PTS tidak elok bagi bacaan kanak-kanak dan remaja.

Menurut salah seorang kontraktor yang saya tanya itu, cara kerja para pegawai perpustakaan awamlah yang menyebabkan judul-judul PTS tidak banyak dipilih. Sebagai contoh, jika judul PTS banyak dipilih, mereka takut penerbit-penerbit lain membantah dengan mengemukakan hujah bahawa pegawai kerajaan mengamalkan dasar pilih kasih kepada PTS, dan perkara itu tidak adil kepada penerbit-penerbit lain.

Jadi, kerana tidak mahu dituduh pilih kasih dan tidak adil kepada semua, maka pegawai perpustakaan pun memilih judul daripada semua penerbit, supaya semua penerbit puas hati, manakala pengguna perpustakaan tidak puas hati.

Nampaknya, dalam kes mahu bersikap adil yang begini, memuaskan hati penerbit sudah menjadi prinsip utama sewaktu pegawai perpustakaan memilih judul, bukannya memuaskan hati pembaca buku yang menggunakan perkhidmatan perpustakaan awam.

Yang menjadi isu, banyak penerbit sebenarnya dimiliki oleh seorang towkay sahaja. Ada towkay yang menerbitkan buku menggunakan 7 syarikat, jadi ketujuh-tujuh syarikat itu dipilih judulnya, tetapi semua syarikat itu adalah kepunyaan towkay itu seorang. Penerbit jenis ini memang tidak menerbitkan buku-buku yang tinggi mutunya, tetapi buku-buku mereka tetap dipilih oleh perpustakaan awam.

Bukan itu sahaja, jenis penerbit ‘cap ayam’ ini mempunyai cara menipu yang sudah tidak menjadi rahsia lagi. Ada penerbit yang menjual buku-buku yang sama berulang kali kepada perpustakaan awam dengan cara menukar kulit dan judul buku-buku itu sahaja, ataupun dengan membolak-balikkan susunan isi kandungan buku-buku itu.

(iii) Ketiga, ada pegawai perpustakaan yang takut dituduh mereka kowtim-kowtim dengan PTS jika banyak judul PTS dipilih. Kerana takut dituduh menerima rasuah dari PTS, maka buku-buku PTS tidak berani dipilih, tetapi pegawai itu berani pula memilih buku-buku terbitan syarikat-syarikat ‘cap ayam’ milik towkay itu, malah memilih buku-buku terbitan lama pun pegawai itu berani.

(iv) Keempat, salah seorang kontraktor buku memberitahu bahawa sebenarnya banyak judul sastera kanak-kanak dan remaja terbitan PTS dipilih oleh pegawai-pegawai yang melakukan proses penilaian, tetapi apabila senarai judul itu ‘naik ke atas’, senarai judul itu ‘berubah’.

Begitulah maklumat yang disampaikan kepada saya oleh beberapa kontraktor buku yang saya tanya apakah faktor-faktor yang menyebabkan banyak buku-buku sastera kanak-kanak dan remaja dalam bahasa Melayu di perpustakaan awam adalah buku-buku yang tidak laku, terbitan lama, buku berset-set, dan buku-buku itu tidak terdapat di kedai-kedai buku.

NOTA: PTS adalah sebuah penerbit yang berpegang kepada dasar perniagaan bebas-rasuah (curruption-free), itulah sebabnya PTS tidak masuk tender kerajaan. Yang membekalkan buku-buku PTS kepada perpustakaan awam adalah ahli-ahli Persatuan Kontraktor Buku Bumiputera (baca, UMNOputera). Mereka membeli buku-buku PTS dengan diskaun 35% dan membekalkannya kepada kerajaan. Banyak penerbit ‘cap ayam’ itu juga mempunyai lesen sebagai kontraktor buku. Mereka inilah yang bekerja kuat ‘melobi’ supaya buku-buku kualiti rendah yang mereka sendiri terbitkan dimasukkan ke dalam senarai judul yang dipilih oleh perpustakaan awam.

Bookmark and Share

2 Comments

  1. betul…disekolah pun GB ada suplier sendiri..tau2 kena sign je..buku entah apa2..mahal pulak tu…murid pun takde selera nak meminjam buku..akhirnya saya sendiri minta murid cadangkan…dan cari suplier sendiri..walaupun tidak disenangi tetapi harus ingat duit yang kerajaan bagi untuk murid-murid..hasilnya perpustakan saya ada koleksi Geronimo stilton..siri adam kecil dan siri akif ber set set..berbaloi…proses sirkulasi macam pisang panas..ada yang berkata mampu ke library beli buku tu?..mampu!!…duit beribu ribu yang kerajaan bagi tu kita guna sebaiknya..bukannya kita lantik suplier entah apa2..price mark up tinggi dan macam2 politik lagi…menyakitkan hati..buku berbundle tapi entah apa..harga tinggi..tau2 bajet habis…

    saya tahu apa sebab sekolah ada suplier sendiri…kalau pulangannya ke murid atau ke perpustakaan boleh ampun..ini tutttttt….hehhe malas nak citer..tapi saya puas hati walaupun tak disenangi pentadbir…yang penting murid saya bahagi dengan library mereka…buku di MPH ada di sini..

  2. betul tu ! saya setuju sangat. kebanyakan buku-buku yang pembekal bawa tu, alahai…………..tak menarik dan kualiti ? Tak sepadan dengan harganya. Murid saya pun tak berselera nak membacanya. Tapi kami tak de pilihan. Kadang tu terpaksa beli. Ada setengah pembekal tu, tak puas hati jika saya tak ambil bukunya. kita sebagai GPM tahula buku yang macam mana murid kita suka baca. Tetapi saya bernasib baik kerana PIBG beri saya bajet untuk beli buku setiap tahun. So, saya boleh beli buku-buku yang menjadi kegemaran murid-murid saya dan guru-guru.

Trackbacks/Pingbacks

  1. Kiriman Terbaik daripada PKG-Petaling.net Bagi Bulan Apr 2009 : PKG-Petaling.net - [...] Adakah Betul atau ..? Dikirim pada Tuesday, April 28th, 2009 dalam PKG - Comments: (1) Terbaca daripada blog Pn ...

Leave a Reply