Johan MSC Malaysia APICTA 2008
LAPORAN PERTANDINGAN MSC MALAYSIA APICTA 2008
“Stimulating Creativity and Excellence in ICT”
Satu pertandingan ICT terbuka seluruh Malaysia telah dianjurkan oleh MSC Malaysia bermula dari awal tahun hingga bulan Oktober 2008. Pertandingan yang bernama “MSC Malaysia Asia Pacific ICT Awards” (MSC Malaysia APICTA) ini adalah ilham daripada Perdana Menteri Malaysia. Temanya ialah “Merangsang Kreativiti dan Kecemerlangan dalam ICT”. Tahun ini terdapat 19 kategori yang telah dipertandingkan termasuk kategori untuk sekolah rendah. Beberapa pemenang yang tertentu akan mewakili Malaysia ke pertandingan Antarabangsa APICTA 2008 di Jakarta, Indonesia. Maklumat lanjut boleh didapati di www.mscapicta.com.my.
Iklan pertandingan yang terbuka untuk semua rakyat Malaysia
Sekolah Kebangsaan Taman Universiti telah menghantar dua penyertaan untuk bertanding dalam kategori sekolah rendah. Kumpulan pertama membawa tajuk “Student Community Forum” terdiri daripada Ahmad Zuhair b. Zainol, Syafiq b. Dato’ Md Noor dan Muhammad Syafiq b. Ahmad Kamaludin. Kumpulan kedua pula membawa tajuk “Si Tanggang – The Animation” terdiri daripada Muhammad Faizul Aidil b. Abdul Ghani, Muhammad Aliff b. Zaifuddin dan Adzrif b. Sidek. Kedua-dua kumpulan ini dinaungi oleh Guru Besar, Pn. Hjh. Azimah bt. Hussein dan Guru Penasihat, En. Wan Mohd Mohyeddin b. Wan Yacob.
Terdapat lebih kurang 50 penyertaan untuk kategori sekolah rendah seluruh Malaysia. Alhamdulillah, setelah tapisan dibuat oleh pihak MSC Malaysia APICTA, sekolah kita (kumpulan kedua sahaja yang membawa tajuk “Si Tanggang – The Animation”) adalah antara 5 buah sekolah rendah yang bertuah kerana telah disenarai-pendekkan untuk membentangkan hasil produk ICT masing-masing. Berikut adalah 5 buah sekolah yang telah layak:
1. S.K. Taman Universiti, Selangor (Si Tanggang – The Animation)
2. S.K. Parit Haji Aman, Perak (Online Banjar Dictionary)
3. S.K. Putrajaya 9(1), Putrajaya (E-Library Corner)
4. S.K. Seri Ampang, Kuala Lumpur (Science Year 5 Video Education – Topic Introduction to Microorganism)
5. S.K. Bangi, Selangor (www.jomkewarung.blogspot.com)
Kesemua sekolah-sekolah ini telah datang ke MSC Headquarters, Cyberjaya pada hari Khamis, 11 September 2008 untuk membentangkan produk ICT masing-masing. Sekolah kita merupakan sekolah pertama yang dipanggil ke dalam bilik pembentangan. Masa pembentangan yang diperuntukkan adalah 20 minit sahaja. Walaupun masanya singkat, pelajar-pelajar kita berjaya membentangkannya dengan jayanya.
Suasana ketika pembentangan dilakukan.
Satu sesi temuramah dilakukan selepas pembentangan
Untuk mengumumkan keputusan pertandingan, satu majlis penyampaian anugerah yang dinamakan “MSC APICTA 2008 AWARDS CEREMONY DINNER” telah diadakan pada 15 Oktober 2008 di Kuala Lumpur Performing Art Centre (KLPAC), Kuala Lumpur. Pada malam itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Y. B. Datuk Dr. Maximus Johnity Ongkili telah hadir untuk merasmikan majlis ini. Selain itu Pengerusi MSC Malaysia, Y. B. Tan Sri Abdul Halim Ali turut hadir pada malam itu. Walaupun Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak dapat hadir, majlis penyampaian anugerah telah berjaya dilangsungkan dengan gahnya. Selain itu terdapat ramai lagi tetamu khas lain daripada pelbagai sektor telah hadir. Bukan itu sahaja, ramai artis-artis telah datang untuk menyerikan lagi majlis ini.
Malam penganugerahan dilakukan dengan penuh gemilang yang berkonsepkan seperti ‘Grammy Awards’
Akhirnya, apabila diumumkan pemenang kategori sekolah rendah, Sekolah Kebangsaan Taman Universiti telah diumumkan sebagai johan. Perasaan gembira dan terkejut terus menyelubungi pelajar-pelajar kita dan juga guru. Memang tidak diduga sekolah kita berjaya mengungguli johan kategori sekolah rendah. Tahniah buat pelajar kita, Muhammad Faizul Aidil b. Abdul Ghani, Muhammad Aliff b. Zainuddin dan Adzrif b. Sidek! Tahniah juga untuk Guru Besar, Guru Penasihat dan semua warga sekolah kerana berjaya merangkul gelaran johan kategori sekolah rendah seluruh Malaysia! Sebagai token kemenangan, sekolah kita telah menerima sebuah trofi dan sijil kemenangan khas daripada MSC Malaysia. Kita juga telah diberi penghormatan untuk menggunakan logo rasmi “MSC Malaysia APICTA 2008 – Best of Primary Student Project”. Sila rujuk laman web www.mscapicta.com.my untuk senarai pemenang lengkap dan laman web www.eduwebtv.com berita 18 Oktober 2008 untuk sedutan video malam penyampaian anugerah.
Dengan kemenangan sebesar ini, Sekolah Kebangsaan Taman Universiti telah mengukir satu sejarah yang amat bermakna. Ini merupakan satu langkah besar kepada sekolah untuk terus maju ke hadapan. Harapan sekolah kita dapat mengekalkan kejuaraan ini pada tahun-tahun yang akan datang dan seterusnya berpeluang mewakili Malaysia dalam pertandingan yang lebih besar.
Guru dan pelajar bergambar dengan trofi yang dimenangi. Dari kiri En. Wan Mohd Mohyeddin, Muhd. Aliff b. Zaifuddin, Muhd. Faizul Aidil b. Abd. Ghani dan Adzrif b. Sidek
Pihak PKG Petaling mengucapkan tahniah dan berbangga dengan kejayaan sekolah ahli. Jika anda ada berita-berita kejayaan sila hantarkan artikel atau laporan kepada admin@pkg-petaling.net



Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!
You must be logged in to post a comment.